Followers

Monday, June 21, 2010

Rahsia Perniagaan Orang Cina

foto Rahsia Perniagaan Orang Cina

fadhilahmj.blogspot.com - Banyak peniaga gagal kerana bersikap hangat-hangat tahi ayam dan sekadar suka mengikut orang. Apabila orang lain berniaga, maka dia pun hendak berniaga. Berniaga tidak boleh pakai ikut-ikut dan dilakukan sekadar suka-suka sahaja. Berniaga boleh dijadikan sebagai hobi tetapi bukan bagi mengisi masa lapang. Lebih-lebih lagi sebagai permainan bagi menyeronokkan hati semata-mata. Perniagaan adalah bidang yang serius yang menuntut sepenuh perhatian, tenaga, komitmen, masa dan pengorbanan yang tidak sedikit. Ia juga satu bentuk perjuangan yang menentukan hidup matinya seseorang peniaga. Perniagaan ibarat maruah diri yang dipertahankan. Tidak ada orang suka gagal. Hanya orang yang pernah gagal dalam perniagaan yang dapat merasakan erti kegagalan yang sebenar. Rasa malu, tertekan dan seolah-olah maruah sudah tercabut daripada dirinya.

Dalam falsafah niaga orang Cina, peniaga tidak boleh mengharapkan keuntungan sebaik sahaja memulakan perniagaannya. Mereka perlu bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan seperti kerugian dan kegagalan pada peringkat awal. Untuk itu, mereka perlu mempunyai modal yang kuat dan sumber kewangan yang dapat digunakan sepanjang tempoh kritikal itu. Keuntungan yang diperoleh sebaik-baiknya tidak dibelanjakan. Jika boleh, jangan diusik. Keuntungan perlu digunakan bagi menambahkan modal pusingan dan membuat pelaburan. Keuntungan yang bakal diperoleh bergantung pada berapa banyak pelaburan yang sudah dilakukan. Jadi, setiap perniagaan perlu dirancang dengan teliti, diurus dengan betul dan diusahakan dengan sepenuh hati.

Setiap peniaga perlu bersikap peramah, tidak kedekut dengan senyuman dan bersedia memberikan layanan serta perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Mereka tidak boleh mencampuradukkan masalah peribadi dengan urusan perniagaan. Dalam berniaga, jangan sesekali mencari musuh tetapi carilah seberapa ramai kawan dan kenalan. Semua ini harus terbit daripada hati nurani hasil kesungguhan dan minat yang tinggi dalam perniagaan. Usah berpura-pura dan berlakon. Sikap yang dibuat-buat akan disedari oleh pelanggan dan mereka yang datang berurusan. Pelanggan tidak suka kepada peniaga yang sombong, bongkak dan angkuh.

Peniaga tidak seharusnya berlagak pandai tetapi perlu sentiasa menawarkan khidmatnya kepada pelanggan pada bila-bila masa sahaja. Setiap pelanggan mahu dilayan seperti raja. Jadi, tiada ruginya jika peniaga bersikap merendah diri dan berbudi bahasa.

Bagi mereka yang mahu menjadi peniaga ataupun usahawan yang berjaya, segala sifat negatif itu perlu dibuang dan digantikan dengan sikap positif. Peniaga perlu ingat mereka bukan sahaja menjual barang dan khidmat tetapi imej diri. Imej peniaga yang baik adalah mampu memenuhi segala per-mintaan dan harapan pelanggannya. Mereka juga perlu memastikan setiap barang dan perkhidmatan dapat dihantar ataupun disiapkan tepat pada masanya. Pelanggan akan lebih yakin pada peniaga. Secara psikologinya, ia akan mendatangkan kepercayaan orang ramai supaya berurusan dengannya. Proses ini perlu berkekalan dan berlanjutan. Sikap lewa dan buat kerja separuh jalan tidak seharusnya wujud dalam sebarang bentuk amalan perniagaan. Sama ada perniagaan itu milik keluarga ataupun tidak, ia perlu dilaksanakan seolah-olah ia adalah titik peluh kita sendiri.

Mereka yang menceburi bidang perniagaan dianggap sebagai wira kerana berani mengambil risiko dan tidak takut berdepan dengan kegagalan ataupun kerugian. Bagi orang Cina, tanpa rugi tidak mungkin akan datang untung dan seterusnya kejayaan dalam apa sahaja lapangan yang diusahakan. Orang Cina jarang memandang rendah kepada mereka yang gagal dalam perniagaan. Ia dianggap sebagai langkah awal bagi menuju kejayaan. Orang Cina memandang tinggi kepada mereka yang mahu berusaha di mana galakkan dan peluang akan diberikan kepada sesiapa yang hendak melibatkan diri dalam perniagaan.

Justeru, orang Cina tidak mudah putus asa apabila gagal kali pertama dan buat ke sekian kalinya. Ini kerana, matlamat utama mereka menceburi perniagaan adalah hendak membina asas kewangan yang lebih kukuh dan selamat bagi jaminan kehidupan keluarga pada masa hadapan. Mereka tidak mengharapkan keuntungan besar dalam sekelip mata. Bagi mereka, cukuplah jika untung sedikit tetapi biar berterusan sampai bila-bila. Yang penting adalah perniagaan itu dapat memberikan punca pendapatan bagi menampung segala perbelanjaan keluarga. Sebahagian daripada keuntungan itu perlu disimpan bagi mengembangkan perniagaan dan menghadapi sebarang kemungkinan di luar jangka. Sebahagian lagi digunakan sebagai modal pusingan. Jika keuntungan digunakan bagi menampung perbelanjaan harian yang bersifat peribadi, ia akan mengundang kesulitan kepada peniaga. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, peniaga tidak boleh bersikap boros dan melakukan pembaziran dengan membeli perabot mahal, perhiasan mewah dan berbelanja dengan sewenang-wenangnya menurut nafsu.

Peniaga baru perlu secara sederhana. Jangan suka menunjuk-nunjuk kerana ia adalah sikap yang tidak memberikan keuntungan. Tidak ada gunanya mempunyai premis perniagaan yang cantik, kereta mewah dan berpakaian seperti tokoh korporat besar jika perniagaan lingkup separuh jalan. Semua itu boleh datang dengan sendiri apabila perniagaan mulai stabil dan mendatangkan pulangan untung yang lumayan. Amalan dan pemikiran sebegini perlu ditanam dengan kejap dalam mentaliti semua peniaga. Peniaga mungkin sedar berkenaan perkara ini. Cuma yang menjadi masalah, tidak ramai yang berupaya mempraktikkan dan menjelmakannya dalam kehidupan mereka seharian.

Persaingan yang sihat menguntungkan semua pihak. Manakala persaingan yang tidak adil tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada mana-mana pihak. Jika ada pihak yang mendapat keuntungan sekalipun, ia hanya bersifat sementara dan tidak akan dapat bertahan. Bahkan akan menjadi faktor yang mempercepatkan kejatuhan dan kehancuran dalam bidang perniagaan. Bagi menggelakkan terjadinya persaingan yang tidak sihat, orang Cina tidak digalakkan melibatkan diri dalam bidang perniagaan ataupun menjual barangan yang sama. Skop perniagaan mungkin sama tetapi pendekatan yang digunakan dan produk yang dijual adalah berbeza.



sumber:nur-huda83

1 comment:

Радомир Эра said...

Jika anda mempunyai masalah kewangan, maka sudah tiba masanya untuk anda tersenyum. Anda hanya perlu menghubungi Encik Benjamin dengan jumlah yang anda ingin pinjam dan tempoh pembayaran yang sesuai dengan anda dan anda akan mempunyai pinjaman anda dalam tempoh tiga hari bekerja. Saya hanya mendapat manfaat untuk keenam kali pinjaman sebanyak 700 ribu dolar untuk tempoh 180 bulan dengan kemungkinan membayar sebelum tarikh tamat tempoh. Encik Benjamin telah membantu saya dengan pinjaman.Membuat hubungan dengannya dan anda akan melihat bahawa dia adalah seorang yang sangat jujur dengan hati yang baik. E-melnya adalah lfdsloans@lemeridianfds.com dan nombor telefon WhatAppnya ialah + 1-989-394- 3740